Part I
“Kitab
Al-Qur’an ini, tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.”
–
Quran 2:2
Jid,
sepertimana kami adik beradik dengan penuh rasa hormat memanggilnya, merupakan
panggilan yang berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud datuk. Jid
merupakan seorang tahfiz. Namun, Jid bukan hanya sekadar seorang tahfiz kepada
kami adik beradik dan seluruh keluarga. Jid lebih daripada itu. Dia ialah suri
teladan Muslim pertama kami yang telah banyak membentuk keperibadian diri kami
dengan tunjuk ajarnya. Aku sangat menyanjungi Jid lebih daripada hanya hubungan
seorang datuk dan cucu. Memori bersama Jid masih segar dalam ingatanku dan
ianya tidak akan pernah terpadam daripada catatan memori hidupku.
Walaupun
pada usiaku yang masih mentah di waktu itu aku kurang mengerti apa yang Jid
sampaikan samada dalam bentuk nasihat mahupun tunjuk ajar, Jid tahu apa yang
terbaik untuk kami. Jauh lebih signifikan daripada itu, Jid mengajar kami erti
kehidupan.
Aku
dan kakak sulungku merupakan antara cucu cucu kesayangan Jid. Kami meluangkan
banyak masa bersama berbanding cucu cucunya yang lain. Aku bertanggapan ini
mungkin kerana kami cepat tangkap
apabila mengaji Quran. Aku akan melafazkan bacaanku satu persatu dengan
rentetan nada yang agak kuat supaya didengari Jid di mana Jid dengan santai
akan meneriak membetulkan bacaan kami sementara membuat kerja hariannya.
“Yang
mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya: mereka
itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah
orang-orang yang mempunyai akal.”
–
Quran 39:18
Legasi
yang ditinggalkan Jid jauh menjangkaui harta benda yang ditinggalkan kepada
kami sekeluarga. Pada usiaku lima tahun, aku meluangkan masa selama tiga bulan
di Medan bersama Jid. Jid sering membonceng aku dengan menaiki basikalnya walau
kadang kala pada waktu itu aku lebih gemar mengikuti rakan rakan seusiaku
bermain bersama. Jid menegaskan bahawa satu hari kelak aku akan mengerti
maksudnya berbuat demikian. Jid tidak salah.
Satu
hari, aku dibawa oleh Jid dalam satu perjalanan panjang ke pedalaman Medan.
“Kita miskin” kata Jid, “tapi ramai lagi yang lebih kurang bernasib baik”
sambungnya lagi. Mesej disampaikan Jid ringkas, tapi penuh pengisian. Jid mahu
aku bersyukur.
“Dan
sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan menjadi
tinta, dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi nescaya tidak akan habis
Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, lagi Maha
Bijaksana.”
–
Quran 31:27
Sebelum
sampai ke destinasi dituju, Jid dengan lembut meningatkan aku apabila sampai
nanti, jangan merungut walau apa sebab sekalipun dan habiskan minuman dan
makanan yang dihidangkan. Sekalipun air teh yang dihidangkan pahit dan rotinya
keras, aku sedikit pun tidak merungut dan menghabiskan hidangan yang dijamu
sepertimana dinasihatkan Jid.
Perjalanan
pulang merupakan sesi soal jawab buat aku dan Jid. Jid bertanya, “lantai di
rumah kita dibuat daripada apa?” “Simen” jawabku ringkas. “Bagaimana pula
lantai di rumah kawan Jid dan rumah rumah sekelilingnya?” Tanya Jid lagi. Aku
jawab, “tanah!”
Sesi
soal jawab itu tidak berhenti di situ saja. Jid mahu aku melihat, walaupun
rumah itu hanya berlantaikan tanah, ia bersih. Kawan Jid seorang yang baik,
penyayang serta seorang kawan yang baik. Jelas Jid lagi, Tuhan tidak menilai
kita daripada segi luaran, tetapi siapa diri kita sebenarnya di dalam. Kata
Jid, Quran menegaskan bahawa Tuhan berada dekat dengan kita tidak kira samada
kita kaya mahupun miskin. Nasihat Jid ringkas, namun makna yang didukungnya
lebih luas daripada apa yang disampaikan.
“Dan
sesungguhnya, Kami ciptakan manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan
oleh hatinya, sedang Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”
-
Quran 50:16
Jid
melawat kami di Penang ketika aku berusia lapan tahun. Kami akan bersiar siar
dan berjalan bersama di mana proses pembelajaranku bersama Jid bersambung.
Semasa di Tanjung Tokong, kami duduk di atas batu besar di antara jalan utama
dan sisir pantai. Jid menjelaskan bahawa Quran menyatakan apa jenis pekerjaan
pun adalah pekerjaan yang baik di mata Tuhan selagi sumbernya halal. Lalu Jid
secara kebetulan mengarahkan jari telunjuknya menuju kepada seorang penyapu
sampah yang sedang menyapu jalan. Menurut Jid, penyapu sampah itu mempunyai
pekerjaan yang baik kerana dia mengekalkan kebersihan kawasan sekeliling dengan
pekerjaannya itu dan atas sebab itu Tuhan menyayanginya. Kata Jid, walaupun dia
hanya seorang penyapu sampah, aku perlu menghormatinya.
“Mereka
itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah
sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.” – Quran 3:136
“Dan
tiadalah Kami turunkan Al-Qur’an kepadamu melainkan supaya engkau menerangkan
kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi
petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman.” – Quran 16:64
Nasihat
Jid mudah dan aku mengerti. Menurut Jid lagi, sesiapa yang boleh bekerja tetapi
hanya duduk berpeluk tubuh nanti Tuhan marah. Jid seorang yang berpegang teguh
kepada kata katanya. Jid tidak perlu bekerja sewaktu usianya hampir mencecah 80
tahun apabila dia mempunyai anak anak yang mampu menanggungnya. Akan tetapi,
Jid berkeras tetap mahu bekerja hingga ke akhir hayatnya walaupun hanya dengan
berniaga kecil kecilan dengan berbekalkan hamparan kecil. Jid tidak pernah
terlepas memberikan nafkah kepada Jidah (gelaran untuk nenek dalam bahasa Arab)
walaupun Jid ketika itu berada beribu batu jauh dari Jidah di Medan. Jidah
sememangnya seorang wanita yang bertuah.
Jid,
terima kasih kerana telah menerangkan Quran kepadaku dalam bahasa yang mudah
untuk aku fahami. Bukan hanya dengan Bahasa Indonesia tetapi dalam satu bahasa
kehidupan yang mampu difahami seorang anak kecil dengan contoh dan pengalaman
dalam erti kata kehidupan sebenar. Malah lebih signifikan daripada itu, terima
kasih Jid kerana telah menunjukkan melalui teladan dan menjadi seorang contoh
yang baik untuk aku berbekalkan Quran sebagai hidayah. Memori bersama Jid
dikenang dengan penuh rasa hormat di dalam helaian nota memori hidup aku hingga
ke hari ini. Lebih penting lagi, apa yang Jid sampaikan selama ini akan aku
pegang seumur hidupku.
“Katakanlah:
Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahikan kepadaku dari Tuhanku.
Al-Qur’an ini ialah panduan-panduan dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi
rahmat bagi orang yang beriman.” – Quran 7:203
“Orang-orang
yang telah Kami berikan Al Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan
yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar
kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” – Quran 2:121