Apakah
perbualan ketiga?
Apabila
kita berbicara dengan orang lain, kita selalunya memikirkan bahawa hanya
terdapat satu perbualan yang sedang berlaku. Jika dilihat dengan lebih
mendalam, kita akan sedar bahawa terdapat tiga perbualan sebenarnya.
Perbualan
yang pertama adalah yang paling jelas – perkataan-perkataan yang diguna pakai
dan juga bahasa badan. Perbualan kedua adalah perbualan yang sedang berlaku
dalam kepala anda. Kebanyakan kita sedia maklum dengan dua jenis perbualan ini.
Walau bagaimanapun, acapkali kita terlepas pandang perbualan ketiga yang amat
penting – perbualan yang sedang berlaku di dalam kepala pihak satu lagi.
Kenapa perlu
mendengar perbualan ketiga?
Mendengar
perbualan ketiga adalah cara untuk mengenal pasti dengan pantas apa yang
terbuku dalam hati pihak lain. Perbualan pertama hanyalah simbol dan petunjuk
untuk menyelami perbualan ketiga, di mana isu dan mesej sebenar berada.
Keupayaan
untuk mendengar perbualan ketiga adalah amat membantu – ia menyingkirkan banyak
kebisingan dan perbalahan yang tidak perlu. Mereka yang mampu mendengar
perbualan ketiga akan menjadi suami, isteri, adik-beradik, kawan, jurujual,
bos, rakan sekerja yang lebih baik. Mereka juga akan menjadi rakyat Malaysia
yang lebih baik.
Apakah
contoh-contoh perbualan ketiga?
Beberapa contoh:
Contoh 1
Ibu anda mengadu anda selalu pulang lewat ke rumah dan menganggap
rumah seperti sebuah hotel sahaja.
Mesej sebenar
yang mungkin cuba disampaikan adalah beliau ingin meluangkan lebih masa bersama
anda.
* Ucapan terima kasih buat rakan saya Darrel Devan
Lourdes kerana memperkenalkan idea Perbualan Ketiga kepada saya.
Contoh 2
Pasangan anda menyatakan bahawa anda tidak menyayanginya
lagi.
Mesej sebenar
yang mungkin cuba disampaikan adalah, “Saya ingin dipeluk erat”.
Contoh 3
Ada orang mengeluh bahawa dia mempunyai banyak kerja di
pejabat.
Mesej sebenar
yang mungkin cuba disampaikan, “Saya adalah orang penting dalam syarikat”.
Bagaimana kita
boleh mendengar perbualan ketiga?
Mendengar
perbulan ketiga memerlukan empati, pemahaman dan belas kasihan. Seseorang itu
perlu MAHUKAN untuk mendengar pihak lain.
Malang
sekali, kebanyakkan masa, perbualan kedua yang berlaku dalam minda kita sendiri
adalah terlalu kuat sehinggakan kita menjadi pekak terhadap perbualan ketiga.
Ramai yang sudah merangka jawapan dan komentar sedangkan pihak yang satu lagi
masih membentuk ayat mereka dan belum habis berbicara. Ramai yang akan memilih
apa jua ‘peluru’ yang mereka boleh dapat dalam perbualan pertama untuk menang
atau hanya untuk bertindak balas – menyalahgunakan petunjuk daripada hujahan
orang tersebut untuk membidas. Bila seseorang berlaku sedemikian, ia akan
mengguris perasaan pihak lain dan perkongsian pendapat akan meleret menjadi perbalahan
dan perdebatan hangat.
Apakah contoh-contoh keadaan sedemikian?
Menggunakan semula contoh-contoh yang disebutkan sebelum
ini, kita mungkin membidas semula seperti berikut.
Contoh 1
Jika ibu anda mengatakan anda menganggap rumah anda
sebagai hotel, anda mungkin memberi respon bahawa tidak mungkin anda boleh menganggap rumah anda sebagai hotel kerana
hotel mempunyai kolam renang dan kemudahan yang lebih lengkap.
Contoh 2
Jika pasangan anda mengeluh yang anda tidak menyayanginya
lagi, anda mungkin beranggapan bahawa pasangan
anda terlalu mengharap atau terlalu mengikut cara ‘Barat’.
Contoh 3
Jika anda mendengar seseorang mengadu bahawa dia terlalu
banyak kerja di pejabat, anda mungkin mencadangkan bahawa sudah tiba masa untuk meminta dinaikkan gaji atau berhenti sahaja... ianya
mungkin akan membawa kepada rungutan mengenai bos dan syarikat.
Bagaimana
hendak menjauhi sifat tersebut dan belajar untuk mendengar perbualan ketiga?
Membungkamkan
perbualan kedua adalah penting dalam mencapai perbualan ketiga. Kita perlu
benar-benar memberi perhatian dan cuba sebaik mungkin untuk ‘membaca’ semua
petunjuk dan petanda dalam perbualan pertama.
Kita
perlu bertanyakan soalan dan sedikit penyiasatan juga membantu. Hati dan minda
kita harus bersedia dan sanggup.
Bagaimana
mendengar perbualan ketiga dapat membantu wacana umum?
Kita
lihat beberapa contoh isu-isu yang seringkali dibincangkan. Apakah perbualan
ketiga dalam contoh-contoh berikut?
- Apabila
kaum Melayu menuntut agar kedudukan istimewa mereka dihormati?
- Apabila
kaum India merasa marah akan perkataan ‘pariah’ dalam sebuah novel?
- Apabila
kaum Cina merasa marah apabila mereka dikatakan sebagai pendatang?
- Apabila
warga Sabah dan Sarawak tidak senang dengan pendekatan sambil lewa kita dalam
sambutan Hari Malaysia untuk sekian lamanya?
Tekan sini untuk Bahagian 1 dan Bahagian 2