Ahad, 28 Julai 2013

Bahagian 3 - Perbualan Ketiga


 Apakah perbualan ketiga?

            Apabila kita berbicara dengan orang lain, kita selalunya memikirkan bahawa hanya terdapat satu perbualan yang sedang berlaku. Jika dilihat dengan lebih mendalam, kita akan sedar bahawa terdapat tiga perbualan sebenarnya.

            Perbualan yang pertama adalah yang paling jelas – perkataan-perkataan yang diguna pakai dan juga bahasa badan. Perbualan kedua adalah perbualan yang sedang berlaku dalam kepala anda. Kebanyakan kita sedia maklum dengan dua jenis perbualan ini. Walau bagaimanapun, acapkali kita terlepas pandang perbualan ketiga yang amat penting – perbualan yang sedang berlaku di dalam kepala pihak satu lagi.

Kenapa perlu mendengar perbualan ketiga?

            Mendengar perbualan ketiga adalah cara untuk mengenal pasti dengan pantas apa yang terbuku dalam hati pihak lain. Perbualan pertama hanyalah simbol dan petunjuk untuk menyelami perbualan ketiga, di mana isu dan mesej sebenar berada.

            Keupayaan untuk mendengar perbualan ketiga adalah amat membantu – ia menyingkirkan banyak kebisingan dan perbalahan yang tidak perlu. Mereka yang mampu mendengar perbualan ketiga akan menjadi suami, isteri, adik-beradik, kawan, jurujual, bos, rakan sekerja yang lebih baik. Mereka juga akan menjadi rakyat Malaysia yang lebih baik.

Apakah contoh-contoh perbualan ketiga?

Beberapa contoh:

Contoh 1

Ibu anda mengadu anda selalu pulang lewat ke rumah dan menganggap rumah seperti sebuah hotel sahaja.

Mesej sebenar yang mungkin cuba disampaikan adalah beliau ingin meluangkan lebih masa bersama anda.

* Ucapan terima kasih buat rakan saya Darrel Devan Lourdes kerana memperkenalkan idea Perbualan Ketiga kepada saya.
Contoh 2

Pasangan anda menyatakan bahawa anda tidak menyayanginya lagi.

Mesej sebenar yang mungkin cuba disampaikan adalah, “Saya ingin dipeluk erat”.

Contoh 3

Ada orang mengeluh bahawa dia mempunyai banyak kerja di pejabat.

Mesej sebenar yang mungkin cuba disampaikan, “Saya adalah orang penting dalam syarikat”.

Bagaimana kita boleh mendengar perbualan ketiga?

            Mendengar perbulan ketiga memerlukan empati, pemahaman dan belas kasihan. Seseorang itu perlu MAHUKAN untuk mendengar pihak lain.

            Malang sekali, kebanyakkan masa, perbualan kedua yang berlaku dalam minda kita sendiri adalah terlalu kuat sehinggakan kita menjadi pekak terhadap perbualan ketiga. Ramai yang sudah merangka jawapan dan komentar sedangkan pihak yang satu lagi masih membentuk ayat mereka dan belum habis berbicara. Ramai yang akan memilih apa jua ‘peluru’ yang mereka boleh dapat dalam perbualan pertama untuk menang atau hanya untuk bertindak balas – menyalahgunakan petunjuk daripada hujahan orang tersebut untuk membidas. Bila seseorang berlaku sedemikian, ia akan mengguris perasaan pihak lain dan perkongsian pendapat akan meleret menjadi perbalahan dan perdebatan hangat.

Apakah contoh-contoh keadaan sedemikian?

Menggunakan semula contoh-contoh yang disebutkan sebelum ini, kita mungkin membidas semula seperti berikut.

Contoh 1

Jika ibu anda mengatakan anda menganggap rumah anda sebagai hotel, anda mungkin memberi respon bahawa tidak mungkin anda boleh menganggap rumah anda sebagai hotel kerana hotel mempunyai kolam renang dan kemudahan yang lebih lengkap.

Contoh 2

Jika pasangan anda mengeluh yang anda tidak menyayanginya lagi, anda mungkin beranggapan bahawa pasangan anda terlalu mengharap atau terlalu mengikut cara ‘Barat’.
Contoh 3

Jika anda mendengar seseorang mengadu bahawa dia terlalu banyak kerja di pejabat, anda mungkin mencadangkan bahawa sudah tiba masa untuk meminta dinaikkan gaji atau berhenti sahaja... ianya mungkin akan membawa kepada rungutan mengenai bos dan syarikat.

Bagaimana hendak menjauhi sifat tersebut dan belajar untuk mendengar perbualan ketiga?

            Membungkamkan perbualan kedua adalah penting dalam mencapai perbualan ketiga. Kita perlu benar-benar memberi perhatian dan cuba sebaik mungkin untuk ‘membaca’ semua petunjuk dan petanda dalam perbualan pertama.

            Kita perlu bertanyakan soalan dan sedikit penyiasatan juga membantu. Hati dan minda kita harus bersedia dan sanggup.

Bagaimana mendengar perbualan ketiga dapat membantu wacana umum?

            Kita lihat beberapa contoh isu-isu yang seringkali dibincangkan. Apakah perbualan ketiga dalam contoh-contoh berikut?

  • Apabila kaum Melayu menuntut agar kedudukan istimewa mereka dihormati?
  • Apabila kaum India merasa marah akan perkataan ‘pariah’ dalam sebuah novel?
  • Apabila kaum Cina merasa marah apabila mereka dikatakan sebagai pendatang?
  • Apabila warga Sabah dan Sarawak tidak senang dengan pendekatan sambil lewa kita dalam sambutan Hari Malaysia untuk sekian lamanya?

 Tekan sini untuk Bahagian 1 dan Bahagian 2

Tiada ulasan:

Catat Ulasan