Khamis, 11 Julai 2013

Bahagian 1 - Kenapa Pilih Jalan Pertengahan?


Apa itu jalan pertengahan?

            Jalan pertengahan adalah jalan yang mengalakkan kemajuan. Ia tidak bererti berpendirian seperti lalang dengan tidak membuat pilihan atau tindakan. Malahan, ia adalah membuat keputusan dan bertindak berlandaskan prinsip dengan menimbang tara kesemua faktor-faktor terlibat. Jalan pertengahan adalah membuat perkara yang betul, dengan cara yang betul, pada kadar dan masa yang betul.

            Jalan pertengahan mengalih fokus dari sifat keterlampauan kepada tindakan yang munasabah untuk menghampiri matlamat kita. Apabila kita bercadang untuk membuat sesuatu benda, kita harus tahu bila untuk tunggu dan lihat, bila untuk bertindak, dan bila untuk membuat kompromi yang boleh diterima pakai oleh semua pihak. Kita perlu mengimbangkan antara idealisme dengan pragmatisme. Kita perlu berani, tetapi tidaklah melulu. Sebarang keputusan mahupun tindakan yang diambil hanya akan berkesan sekiranya ia seiiring dengan kesediaan masyarakat umum.

Apakah asal usul konsep jalan pertengahan?

            Jalan pertengahan bukanlah sesuatu yang baru. Ia merupakan perkongsian nilai-nilai sejagat. Menurut ajaran Buddha, kebijaksanaan adalah suatu ’laluan tengah’ dan ia menuntut kesederhanaan dalam pemahaman, perilaku dan usaha yang betul. Demi mencapai perkembangan fizikal, minda dan rohani, agama Hindu pula mengajar gaya hidup yang seimbang. Kitab Injil turut menyentuh berkenaan keseimbangan antara apa yang dibenarkan dan apa yang baik.

            Nabi Muhammad pernah bersabda ’sebaik-baik pekerjaan adalah yang pertengahan’. Islam menganjurkan konsep ’wasatiyyah’ yang menggalakkan kesederhanaan dalam pekerjaan. Semua agama menekankan jalan pertengahan dalam perkembangan kendiri dan keharmonian sosial; dalam perkembangan minda, fizikal dan rohani secara holistik; dan dalam perlakuan dan urusan sesama sendiri.

Kenapa pilih jalan pertengahan?

            Malaysia, sebuah negara yang penuh kepelbagaian tidak boleh bertakuk dalam keterlampauan. Apa jua yang diusahakan, kita harus sentiasa saling menghubungi dan mara ke hadapan dalam Perpaduan. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawasanya jalan pertengahan adalah batu asas negara kita dari mula lagi. Ia merupakan gaya hidup kita.

            Kedudukan geografi kita adalah di antara angin monsun timur laut dan barat daya, dan menurut lembaran sejarah juga menjadi titik pertemuan antara Timur dan Barat. Pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka, dikatakan lebih daripada lapan puluh bahasa ditutur oleh komuniti pedagang dari Gujerat, India dan Burma, negara-negara Asia Tenggara, China dan Jepun.

            Dari segi kepercayaan, perkembangan agama di Malaya tidak pernah berlaku secara paksaan. Pengaruh terawal adalah dari tradisi Hindu dan Buddha. Malahan, literasi Sanskrit dan tradisi sistem beraja yang masih menjadi sebahagian dari amalan masa kini adalah hasil warisan agung pengaruh awal tersebut.

            Dengan ketibaan pengaruh Islam, sistem kepercayaan baru itu bertemu di titik tengah tradisi Hindu-Buddha pada waktu itu.  Budaya kesederhanaan, keterbukaan dan tolak ansur yang dibawa Islamlah yang menarik rakyat pada waktu itu. Sehingga kini kita kekal dengan jaringan kepelbagaian agama yang semuanya tiba tanpa paksaan dan diterima dengan kesederhanaan, keterbukaan dan rasa saling menghormati.

            Jalan pertengahan juga turut memainkan peranan dalam kemerdekaan negara kita. Adalah mustahil untuk membentuk sebuah negara yang terdiri daripada  pelbagai komuniti sekiranya pemimpin-pemimpin setiap komuniti ketika itu memilih pendirian yang melampau. Kita telah memilih jalan pertengahan dan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjadi batu asas kita, juga adalah lambang kesederhanaan dan empati, suatu dokumen jalan pertengahan.

Bagaimana jalan pertengahan boleh membawa kita ke hadapan?

            Jalan pertengahan merupakan titik pertemuan untuk pelbagai kumpulan, di mana ia menjadi wadah untuk menyatakan kehendak dan berbincang mengenai isu masing-masing. Contoh terbaik adalah perundingan Kemerdekaan seperti yang disebut sebelum ini. Pada dasarnya, Perlembagaan Persekutuan 1957 membawa semangat kesederhanaan pelbagai pihak yang mencari jalan untuk maju kehadapan bersama-sama. Dengan berbuat sedemikian, ianya mendefinisikan perkara yang perlu dilepaskan agar semua pihak saling menerima hasil. Ia mencapai kompromi yang dipersetujui semua.

            Sama ada kita bersetuju dengan sepenuhnya ataupun tidak, kita tidak boleh menidakkan kebijaksanaan Perlembagaan kita; sehingga ia berjaya menjaring kesatuan dalam kepelbagaian kaum, agama dan bahasa di negara kita. Datuk moyang kita bijak memilih untuk menjadi pragmatik berdasarkan realiti masyarakat kita, dan tidak hanya berangan-angan. Dengan mengambil contoh mereka, perbincangan isu-isu masa kini seharusnya sealiran dengan semangat bertolak-ansur yang menjadi asas Perlembagaan kita.

Siapa yang boleh memilih jalan pertengahan?

            Memilih jalan pertengahan adalah suatu prinsip baik yang boleh dipraktikkan dalam pelbagai aspek kehidupan kita, sama ada ketika berkerja, bermasyarakat mahupun berpolitik. Tidak kiralah dalam membuat keputusan perniagaan atau memilih kepimpinan politik, kita perlu mengambil jalan pertengahan – melakukan perkara yang betul, dengan cara yang betul, pada kadar dan masa yang betul; berani tapi tidak melulu.

            Sebagai contoh, golongan muda berkerjaya boleh mengambil jalan pertengahan dalam mengesyorkan idea.  Mereka boleh menjadi berani dengan mencadangkan pembaharuan, tetapi mereka harus mencari keseimbangan dengan mengambil kira perasaan pihak atasan (’senior’) serta budaya, sistem dan proses sedia ada. Usahawan-usahawan berjaya tahu bahawa sesungguhnya mereka harus mengambil jalan pertengahan di antara risiko yang terlalu tinggi atau terlalu rendah.

            Begitu juga dalam memilih pemimpin-pemimpin politik, kita seharusnya mengambil jalan pertengahan – jauhkan daripada keterlampauan dan hapuskan sikap partisan dan berat sebelah berlebihan. Janganlah menyebelahi mana-mana pihak, tapi kajilah calon-calon berdasarkan sama ada mereka tahu bagaimana dan bila untuk bertindak; dan bila untuk tunggu dan lihat berdasarkan kehendak masyarakat umum. Walau masih berpegang kepada idealisme sendiri, memilih jalan pertengahan akan membantu dalam memastikan kita memilih platform dengan sebaik-baiknya.

            Pendek kata, kita semua mempunyai peranan – marilah kita bersama-sama mengambil jalan pertengahan.


 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan