Jumaat, 19 Julai 2013

Bahagian 2 - Empati – Arah ke Jalan Pertengahan


Apa itu empati?

            Empati adalah suatu praktis berhubungan secara sepenuhnya dengan orang lain untuk lebih memahami, awas dan sensitif kepada perasaan orang lain. Ia merupakan suatu kapasiti untuk membayangkan apa yang sedang dilalui oleh seseorang, kadangkala sehinggakan kita mengalami respon fizikal. Ia adalah meletakkan diri di tempat orang lain.

            Walaupun – atau terutama sekali – apabila seseorang itu mempraktikkan sesuatu yang tidak kita sukai, kita masih boleh menunjukkan empati. Contohnya, merokok itu dikatakan suatu tabiat buruk yang harus diharamkan. Walau bagaimanapun, hakikatnya terdapat ramai perokok dan mereka mempunyai hak untuk merokok, mungkin di kawasan khas, tanpa perlu menyorok bagai penjenayah.

Kenapa perlunya empati?

            Apabila kita boleh menyelami perasaan orang lain, kita boleh belajar untuk menghargai dan menilai sesama sendiri dengan lebih baik. Hubungan kita menjadi lebih mendalam dan bersatu pada tahap insaniah. Empati cukup penting kepada Malaysia kerana kita mahukan hubungan dan Perpaduan sesama saudara seMalaysia kita, supaya kita mampu untuk berkembang dan maju sebagai sebuah negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama, budaya, latarbelakang sosioekonomi mahupun kawasan.

Bagaimana hendak mengamalkan empati di Malaysia?

            Kepelbagaian Malaysia memberi kita berbagai-bagai peluang untuk mengamalkan empati. Ambil sahaja sesuatu yang asas seperti makanan sebagai contoh. Banyak tempat-tempat makan tidak menghidangkan daging khinzir untuk menghormati orang-orang Islam, tetapi menghidangkan daging lembu tanpa menghiraukan kaum Hindu. Jika kita mengamalkan lebih empati, pada dasarnya daging khinzir tidak patut dihidangkan oleh orang-orang yang bukan beragama Islam dan daging lembu pula tidak patut dihidangkan oleh orang-orang bukan beragama Hindu; jika hadirnya orang-orang beragama Islam atau Hindu. Jika mengamalkan lebih empati, kita akan sedar bahawa dengan memakan daging lembu, kita sebenarnya mengguris perasaan kaum Hindu. Paling kurang pun, orang-orang bukan beragama Hindu  seharusnya menunjukkan sedikit kesedaran terhadap sensitiviti kaum Hindu.
            Terdapat banyak lagi cara lain untuk mengamalkan empati di Malaysia – sama ada dalam soal pemakanan, berbahasa, pengamalan budaya dan adat masing-masing, dan pemakaian mengikut situasi.

Bila empati boleh diamalkan?

            Setiap hari. Mengamalkan empati boleh dan patut menjadi tabiat harian. Kita perlu melakukannya secara lebih sedar. Misalnya, jika kita bersama sekumpulan orang, pilihlah untuk bertutur dalam bahasa yang difahami semua pihak, atau sekurang-kurangnya menterjemah atau menerangkan kepada sesiapa yang tidak bertutur dalam bahasa yang sama.

            Oleh kerana kita terdiri daripada orang yang berbilang budaya, agama dan adat, kita perlu menghormati segala amalan walaupun bukan amalan kita sendiri. Apabila kita ke masjid atau gurdwara atau apa jua aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, kita harus berwaspada dengan etika berpakaian. Pada masa yang sama, apabila kita berada di kawasan umum, terimalah seadanya walaupun mungkin sesuatu gaya berpakaian dianggap sebagai kurang sopan – kita harus faham peripenting keselesaan dan ekspresi diri orang lain adalah berbeza daripada diri kita sendiri.

            Warga Malaysia mahir dalam mengamalkan empati dalam urusan seharian. Ia merupakan suatu keistimewaan berada dalam masyarakat yang pelbagai. Dalam cara kita menyapa dan masuk ke rumah sesama sendiri, jelas kita mengambil berat perasaan orang lain.

            Satu contoh keseimbangan yang dibawa oleh sikap empati dapat dilihat dalam penganjuran pemakanan. Apabila kita merancang untuk makan tengahari bersama rakan sekerja dan kawan-kawan ataupun majlis makan malam, kita sentiasa berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan rakan-rakan kita – kita mengelakkan daging khinzir atau lembu dan kita akan memastikan agar makanan bersesuaian akan cukup bagi yang menginginkan makanan vegetarian. Kita cuba sedaya  upaya untuk memenuhi keperluan masing-masing.

            Satu lagi contoh ialah apabila rakyat Malaysia boleh menerima kesesakan trafik ketika berlangsungnya perayaan seperti Thaipusam, Festival Hantu Lapar (Hungry Ghost), Hari St Anne’s dan Maulud Nabi. Kita memahami keperluan untuk meletak kereta secara berlapis-lapis ketika solat Jumaat dan di gereja-gereja pada hari Ahad. Di tempat kerja, semua maklum dan menghormati keperluan Muslim untuk keluar menunaikan solat Jumaat setiap hari Jumaat. Begitu juga pada bulan Ramadhan, orang bukan Islam berempati dengan Muslim yang berpuasa sepanjang hari, dan ada juga yang sanggup untuk berpuasa bersama-sama mereka dalam usaha mengamalkan empati.

            Di kawasan kejiranan kita, ada yang memilih untuk tidak memelihara anjing kerana risau bunyi bising atau kemungkinan ada jiran tetangga yang merasa tidak selesa; dan pada masa yang sama, ramai Muslim memahami dan menerima keperluan jiran-jiran yang ingin memelihara anjing untuk tujuan keselamatan dan sebagainya. Kita sebagai rakyat Malaysia juga sudah biasa mendengar laungan Azan dan bunyi loceng kuil-kuil, serta bauan kemenyan dan benda-benda lain yang digunakan dalam amalan tradisional.

Kebanyakkan perkara-perkara tersebut tidak menjadi hal besar kerana ianya telah menjadi suatu kebiasaan. Kita membuat penyesuaian sesama sendiri setiap hari. Kadangkala kita perlu lebih mengalah, dan pada masa lain kurang. Apa-apa pun, kita berbuat sedemikian kerana empati memainkan peranan penting dalam gaya hidup bersama dalam harmoni. Kita berempati pada orang lain kerana kita tahu kita perlu orang lain untuk berempati dengan kita.

Bagaimana empati membawa menuju ke jalan pertengahan?

            Apabila semua pihak mengamalkan empati, akan menjadi kebiasaan untuk kita semua bertemu di suatu titik pertengahan. Apabila kita berempati sesama sendiri, kita akan berkecenderungan untuk sentiasa menjaga tingkah laku dan mengamalkan kawalan kendiri dan kesederhanaan. Menjadi kebiasaan untuk membuat kompromi yang baik apabila empati menjadi amalan.

            Ambil laungan azan sebagai contoh. Rakyat Malaysia sememangnya sudah biasa mendengar laungan azan, tapi apabila ceramah Maghrib berkumandang dengan kuatnya di alat pembesar suara, kita tidak berempati dengan pelajar Muslim atau pun yang bukan Muslim yang perlu memberi tumpuan dalam pembelajaran atau kerja rumah mereka. Kita tidak berempati dengan keluarga yang mahu berehat selepas penat seharian atau ibu bapa yang ingin menidurkan anak-anak kecil.

            Sekiranya kita mengamalkan empati, kita akan sedar bahawa ceramah adalah untuk telinga jemaah yang berada dalam masjid dan tidak perlu dilaungkan kepada pendengaran masyarakat umum. Dengan cara ini, kita berempati dengan keperluan masyarakat secara menyeluruh. Amalan empati seperti inilah yang mampu untuk membawa kita menuju ke arah jalan pertengahan.

Apa kan terjadi apabila kita mempunyai empati?

            Bila kita mengamalkan empati, kita akan lebih berbelas kasihan – kita akan menerima, memahami dan menghargai sesama sendiri dengan lebih mendalam. Ini adalah ciri-ciri empati, dan kita mahukan empati menjadi salah satu ciri-ciri negara kita kerana melaluinya kita dapat belajar untuk terus berkembang dengan kasih sayang sesama rakyat Malaysia.


            Empati sesama sendiri merupakan kunci ke jalan pertengahan; kunci yang akan membawa negara kita mara ke arah Perpaduan.

Tekan sini utuk ke Bahagian 1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan