Jumaat, 28 Jun 2013

Allah dalam Bible, boleh atau tidak? Bahagian 4 - Al-Quran dan Umat Kristian

Al-Quran dan Umat Kristian

Al-Quran tidak menyangkal mahupun menerima agama Kristian sebulat-bulatnya. Al-Quran tidak bersetuju dengan tafsiran agama Kristian tentang sejarah, terutamanya mengenai Nabi Isa. Bagi Al-Quran, Yesus adalah seorang nabi, iaitu Nabi Isa dan baginda bukan anak Allah. Oleh itu Al-Quran menolak konsep Triniti (rujuk Quran 4:171).

Menurut Al-Quran, Nabi Isa tidak meninggal dunia di atas salib ataupun dibangkitkan. Al-Quran menyarankan bahawa Nabi Isa masih hidup selepas penyaliban dan kemudiannya meninggal dunia sama seperti nabi-nabi sebelum baginda (rujuk Quran 5:75, 4:157). Nabi Isa adalah serupa dengan Nabi Muhammad dan rasul-rasul yang sebelumnya (rujuk Quran 3:144, 21:7-8, 25:20) yang datang ke muka bumi ini, melaksanakan tugas mereka dan akhirnya meninggal dunia (rujuk Quran 3:185).

Al-Quran juga turut menentang mana-mana agama tidak kira Yahudi, Kristian atau tradisi lain yang mencadangkan pengikut agama selain agama mereka ditakdirkan untuk menghadapi kemusnahan semasa hari kiamat; ini sekiranya agama Kristian ingin memonopoli Allah dan perlindungan-Nya (rujuk kepada ayat-ayat Quran sebelum ini).

Bagi pengikut Kristian pula, sekali lagi, tidak terdapat sangkalan atau penerimaan sebulat-bulatnya. Terdapat mereka yang bersifat buruk, tidak adil dan pentingkan diri sendiri (rujuk Quran 5:51-52), dan terdapat mereka yang baik dan berusaha menegakkan keadilan.


Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di
antaranya ada golongan yang tetap; mereka
membaca ayat-ayat Allah di waktu
malam, dan mereka sujud (solat).
– Quran 3:113

Dan di antara orang-orang Kristian yang baik adalah mereka yang sama seperti seorang Muslim yang baik - bersifat memahami, mengambil berat tentang akhirat dan tidak sombong.

“Sungguh engkau akan dapati manusia
yang keras sekali permusuhannya kepada
orang yang beriman ialah orang Yahudi
dan orang musyrik. Dan sesungguhnya
engkau akan dapati orang yang dekat
sekali kasih mesranya kepada orang
yang beriman ialah orang yang berkata:
Bahawa kami ini orang Nasrani. Yang
demikian itu, disebabkan ada di antara
mereka pendeta dan ahli ibadat,
dan kerana mereka tidak berlaku
sombong.” - Quran 5:82


Kesimpulan

Memang jelas bahawa penggunaan istilah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam Bible bukan sahaja dibenarkan, malah ia diseru dalam Al-Quran. Bukankah ini suatu ironi?

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara-saudari beragama Kristian atas usaha mereka untuk menjadikan Allah sebagai nama.Tuhan yang universal dan ingin menggunakan istilah itu untuk merujuk kepada Tuhan dalam Bible.

Tetapi anda tidak harus berhenti di situ.

Anda harus juga berusaha keras untuk memastikan bukan sahaja Bible dalam Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia sahaja yang menggunakan istilah Allah, malah semua penterjemahan lain tidak kira Bahasa Jepun, Inggeris, Rusia atau Hindi menggunakan istilah yang sama. Masyarakat Kristian dari Malaysia boleh memimpin masyarakat Kristian sedunia untuk menjadikan Allah sebagai nama universal untuk Tuhan dengan sokongan kukuh saudara-saudari Muslim mereka. Apa sahaja yang dapat merapatkan perhubungan kita harus disokong. Nama Allah yang dikongsi secara universal untuk merujuk kepada Tuhan nampak sebagai permulaan yang wajar. Kegagalan untuk melakukan sedemikian akan mewujudkan ketidakpercayaan kerana istilah yang betul untuk ‘God’ dalam Bahasa Malaysia adalah Tuhan. Masyarakat Muslim akan mempersoalkan konsistensi dan kejujuran anda. Kerana isu sebenar di sini adalah Kepercayaan. Bukannya isu teknikal berkaitan penggunaan istilah Allah, Tuhan, Elohim, Elah dan sebagainya . Isu ketidakpercayaan antara kita harus menjadi fokus. Inilah yang perlu kita utamakan.


Terdapat tiga peringkat ketidakpercayaan

Pertama, kita tidak saling mempercayai. Masyarakat Muslim menganggap bahawa niat masyarakat Kristian tidak konsisten kerana ingin menggunakan istilah Allah dalam Bible Bahasa Malaysia tetapi tidak dalam penterjemahan lain. Ini dilihat sebagai komplot untuk menyebarkan agama Kristian kepada masyarakat Melayu Muslim.

Masyarakat Kristian pula menganggap bantahan masyarakat Muslim dalam penggunaan istilah tersebut sebagai satu lagi strategi untuk menyekat penyebaran agama Kristian kepada umat Muslim di Malaysia. Perasaan ini telah terpahat secara mendalam dalam jiwa masyarakat Kristian kerana mereka mendapati undang-undang penukaran agama di Malaysia tidak adil (sila rujuk Al-Quran 83:1-3 and 5:8 untuk melihat pendirian Al-Quran dalam hal ini).


“Dan tidaklah ada yang lebih zalim
daripada orang yang diberi ingat dengan
ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia
berpaling daripadanya, sesungguhnya
Kami tetap membalas orang yang tidak
berdosa (apa lagi orang yang zalim).”
– Quran 32:22

Kedua, kita tidak mempercayai diri sendiri. Masyarakat Muslim kurang yakin dengan umat Islam sendiri dan mereka merasakan keimanan orang Muslim akan tergugat jika agama lain menggunakan istilah Allah. Masyarakat Kristian pula kurang yakin bahawa hanya dengan mempamerkan sifat-sifat seperti Yesus adalah cukup untuk membolehkan masyarakat lain tertarik kepada kepercayaan mereka.

Namun, yang paling memudaratkan adalah kurang keyakinan terhadap Allah atau ‘God’ atau Tuhan atau mana-mana nama lain yang digunakan untuk-Nya. Kedua-dua komuniti Muslim dan Kristian gagal untuk mempercayai bahawa Allah akan bersama mereka yang berniat baik dan menyayangi semua yang mempercayai-Nya. Jikalau kita berbuat demikian, jika kita betul-betul teguh beriman maka tiada apa-apa yang perlu kita takutkan.
Kegagalan mempunyai iman yang teguh akan membuat kita lemah, tidak yakin dan hilang panduan.

“Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung
kamu, dan Dialah sebaik-baik Penolong.”
- Quran 3:150


Jun 08, 2008

Isnin, 24 Jun 2013

Allah dalam Bible, boleh atau tidak? Bahagian 3 - Wujud Monopoli Allah, Agama dan Syurga?

Tempat-tempat Ibadat

Oleh kerana kesemua utusan dihantar oleh Allah; Al-Quran menyatakan bahawa seruan di semua tempat ibadat adalah hanya untuk-Nya.

Dan kesemua tempat ibadat sama ada masjid, biara-biara atau gereja memperingati-Nya, Dan, mereka yang tidak membenarkan nama Allah disebut di tempat-tempat ibadat dianggap zalim,

“Iaitu mereka yang diusir dari kampung dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, mereka diusir semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja, dan tempat-tempat sembahyang kaum Yahudi, dan juga masjid-masjid yang disebut banyak nama Allah padanya; dan bahawa Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” – Quran 22:40

Dan, mereka yang tidak membenarkan nama Allah disebut di tempat-tempat ibadat dianggap zalim,

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?” – Quran 2:114


Dan segala pujian hanya wajar ditujukan pada Allah sahaja.

“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan
yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam.” - Quran 1:2

Wujud Monopoli Allah, Agama dan Syurga?

Bertentangan dengan pandangan popular, Nabi Muhammad sebenarnya tidak mengambil langkah untuk menidakkan agama atau cara hidup lain seperti Kristian, Yahudi dan lain-lain, tetapi
Rasullullah kerap menyeru agar umat Kristian dan Yahudi memahami bahawa kita berdoa kepada Tuhan yang sama iaitu Allah.


Yang ironik, hujah utama Al-Quran terhadap orang Yahudi dan Kristian semasa zaman Nabi adalah tuntutan mereka terhadap monopoli Allah dan Akhirat.

Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia, inilah jalan yang betul lurus.” - Quran 19:36


“Katakanlah: Patutkah kamu membuat bantahan dengan kami tentang Allah?Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagikamu pula amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amaldengan) ikhlas kepada-Nya.” - Quran 2:139


“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masukSyurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani”. Yangdemikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orangorangyang benar.” - Quran 2:111


Al-Quran menyarankan perpaduan antara semua agama dan Al-Quran telah diturunkan untuk mengesahkan kitab-kitab suci sebelumnya.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan
orang-orang Nasara (Nasrani), dan orang-orang Saabi’in, sesiapa di antaramereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat sertaberamal salih, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka,dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
- Quran 2:62. Juga rujuk kepada 5:69.


“Dan juga orang yang beriman kepada Kitab Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu,dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakinakan adanya hari Akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhanmereka, dan merekalah orang yang berjaya.” 
- Quran 2:4–5

“Ia turunkan kepadamu Kitab Suci (Al- Qur’an) dengan kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.” - Quran 3:3. Juga rujuk kepada 5:48.


Ianya adalah sebahagian daripada rancangan Allah untuk memberi umat manusia pelbagai landasan untuk mencapai matlamat muktamad iaitu untuk kembali kepada-Nya. Kaedah, amalan dan upacara untuk mencapai matlamat tersebut dibiarkan terbuka.


“Dan Kami turunkan kepadamu Kitab (Al-Qur’an) dengan membawa kebenaran, untuk membenarkan Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk mengawasinya. Maka berhukumlah di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), danjanganlah engkau mengikut hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi setiap umat di antaramu, Kami tetapkan satu Syariat dan jalan yang terang. Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia jadikan kamu satu umat, tetapi Ia hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu. Oleh itu berlumbalah kamu membuat kebaikan. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahumu apa yang kamu berselisihan padanya.” - Quran 5:48


“Bertasbihlah langit yang tujuh dan bumi serta sekalian yang ada di
dalamnya; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih memuji-Nya; akan
tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. Sesungguhnya Allah Maha
Penyabar, lagi Pengampun.” – Quran 17:44


Objektif Al- Quran adalah memberi hidayah supaya manusia menjadikan keimanan dan tingkahlaku sebagai piawai untuk kemenangan di dunia dan akhirat; bukannya ikatan kepada mana-mana agama. Syarat ini bukan hanya untuk mereka yang lahir selepas zaman Nabi Muhammad malah merangkumi kesemua umat manusia sejak permulaan sejarah manusia sehinggalah ke akhir zaman.

Sebaliknya, Al-Quran mengenalpasti ketakwaan sebagai jalan yang terbaik.

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya
Kami telah menurunkan kepada kamu
pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian
perhiasan; dan pakaian takwa itulah
yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu
adalah dari tanda-tanda (kurnia) Allah
supaya mereka beringat.” - Quran 7:26


Apakah ketakwaan dan bagaimanakah kita hendak mengikut jalan yang benar seperti yang diseru di dalam Al-Quran?

Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah:-

1.    berimannya seseorang kepada Allah,
2.    dan hari akhirat,
3.    segala malaikat,
4.    segala Kitab,
5.    dan sekalian Nabi;
6.    dan mendermakan harta yang dicintainya Kepada:
a. kerabatnya,
b. anak-anak yatim,
c. orang miskin,
d. orang yang musafir,
e. orang yang meminta-minta,
f. orang yang memerdekakan hamba abdi;
7.    orang mendirikan sembahyang,
8.    serta mengeluarkan zakat,
9.    dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji,
10. orang yang sabar dalam masa:
a. kesempitan,
b. dan kesakitan,
c. dan dalam peperangan.

Mereka itulah orang yang benar; dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.
– Quran 2:177

Tekan sini untuk Bahagian 1 dan Bahagian 2

Rabu, 12 Jun 2013

Allah dalam Bible, boleh atau tidak? Bahagian 2 - Sejarah Agama - Islam -

Sebagai permulaan, kita perlu memahami pandangan Al-Quran tentang agama dan Allah.

Al-Quran menyarankan bahawa kesemuaagama datangnya daripada Allah kerana Dia telah menghantar pengutus (termasuk Yesus) ke serata dunia di sepanjang aliran sejarah; sesetengah yang dinamakan di dalam Al-Quran manakala sesetengahnyatidak. Tidak dinafikan nabi-nabi telah dihantar ke kawasan geografikal lain seperti Asia, Eropah,benua Amerika dan lain-lain lagi, meskipun Al-Quran secara strategik tidak menyatakannya secara terang-terangan kawasan geografikal mereka bagi mengekalkan pendekatan universal dan inklusif.


Berikut adalah beberapa contoh yang jelas.Saya akan huraikan dengan lebih lanjut ketika membincangkan subjek monopoli Allah dan Akhirat.

“Dan Rasul-rasul yang telah Kami ceritakan
kepadamu sebelum ini, dan Rasul-rasul
yang tidak Kami ceritakan hal mereka
kepadamu. Dan Allah telah berbicara
dengan Nabi Musa secara langsung (tidak
ada perantaraan).” – Quran 4:164


“Dan sesungguhnya! Kami telah mengutus
beberapa Rasul sebelummu; di antara
mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya
kepadamu, dan ada di antaranya yang
tidak Kami ceritakan kepadamu. Dan
tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa
suatu mukjizat melainkan dengan izin
Allah...” – Quran 40:78. Juga rujuk kepada
21:25, 17:77, 43:6.


Malah, Al-Quran begitu tegas menekankan pendekatan inklusif ini sehingga menyatakan bahawa umat Islam yang tidak mengakui mana-mana utusan, sama ada dinamakan atau tidak dinamakansebenarnya sama dengan yang kufur! Penganut Islam juga tidak boleh membezakan antara Rasul-rasul Allah.

“Sesungguhnya orang yang kufur kepada
Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan hendak
membeza-bezakan di antara Allah dan
Rasul-rasul-Nya, dengan berkata: Kami
beriman kepada setengah Rasul-rasul
itu dan kufur ingkar kepada setengahnya
yang lain, serta bertujuan hendak
mengambil jalan lain antara iman dan
kufur itu. Mereka itulah orang kafir
dengan sebenar-benarnya. Dan Kami
telah menyediakan bagi orang kafir itu
azab seksa yang menghina. Dan orang yang
beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya
dan mereka tidak membeza-bezakan
seseorang pun di antara Rasul-rasul
itu, (maka) mereka yang demikian,
Allah akan memberi mereka pahala
mereka. Dan ingatlah adalah Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
– Quran 4:150-152. Juga rujuk kepada
2:136, 3:84


Bagi mengukuhkan lagi pendekatan inklusif ini, Al-Quran menyatakan dengan jelas bahawa sejarah peradaban Islam tidak harus dianggap bermula dari Nabi Muhammad kerana Baginda sendiri mengisytiharkan bahawa Baginda mengikuti agama Nabi Ibrahim.

“Kemudian Kami wahikan kepadamu:
Ikutilah agama Ibrahim, yang berdiri
teguh di atas jalan yang benar; dan
tiadalah ia dari orang yang musyrik.”
– Quran 16:123. Juga rujuk kepada 16:20,
2:135, 3:95, 4:125, dan 6:61.


Dari sudut Al-Quran, Nabi Muhammad bukannya pengasas agama Islam. Baginda merupakan pengunci, nabi yang terakhir, penutup bagi barisan Nabi-Nabi yang telah datang sejak permulaan sejarah kemanusiaan.

“Muhammad itu sekali-kali bukanlah
bapak dari seorang laki-laki di antara kamu,
tetapi dia adalah Rasulullah dan
penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha
Mengetahui segala sesuatu.” – Quran 33:40.

Bagi memuktamadkan bahawa agama Islam merupakan agama inklusif, Al-Quran menekankan bahawa bukan Nabi Muhammad tetapi Allah yang menamakan umat Muslim sebagai Islam, terdahulu sebelum lahirnya Nabi Muhammad.


“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah
dengan jihad yang sebenar-benarnya; Dia
telah memilih kamu dan Ia tidak menjadikan
atas kamu menanggung susah payah dalam
perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim.
Ia menamakan kamu orang Islam
semenjak dahulu, dan di dalam Al-Qur’an
ini, supaya Rasulullah menjadi saksi
yang menerangkan kebenaran perbuatan
kamu, dan supaya kamu pula layak
menjadi orang yang memberi keterangan
kepada umat manusia (tentang yang
benar dan yang salah). Oleh itu dirikanlah
salat, dan berilah zakat, serta berpegang
teguhlah kepada Allah! Dialah Pelindung
kamu. Maka Dialah sahaja sebaik-baik
pelindung dan sebaik-baik pemberi
pertolongan.” - Quran 22:78


Jika kita menjadikan Al-Quran sebagai bukti, hampir kesemua buku sejarah Islam, sama ada yang ditulis oleh Muslim atau bukan Muslim, yang mengaitkan Nabi Muhammad sebagai pengasas Islam sebenarnya bertentangan dengan ajaranAl-Quran. Sebenarnya lebih tepat lagi kalau kita
melihat buku-buku ini sebagai sejarah orang Arab, sumbangan mereka terhadap peradaban,dan pembinaan empayar berasaskan fahaman baru mereka, iaitu Islam. (Di sinilah sejarawan Albert Habib Hourani betul dalam menamakan buku beliau “A History of the Arab Peoples” – “Sejarah Orang Arab”)


Berpandukan Al-Quran, sejarah manusia bermula dengan Nabi Adam, manusia bertamadun pertama (ciptaan yang dikurniakan kuasa pemikirankonseptual, bahasa dan kebolehan bertutur. Rujuk Quran 2:31). Maka, sejarah Islam merangkumisejarah dunia, bukannya sejarah orang Arab sahaja.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan
zuriat anak-anak Adam dari (tulang)
belakang mereka, dan Ia jadikan mereka
saksi terhadap diri mereka sendiri,
(Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan
kamu? Mereka menjawab: Benar, kami
menjadi saksi. Yang demikian supaya
kamu tidak berkata pada hari Kiamat
kelak: Sesungguhnya kami orang yang
lalai tentang (hakikat tauhid) ini.” – Quran
7:172. Juga rujuk kepada 7:31, 7:70, 2:33,
2:37, 7:27.


“Wahai anak-anak Adam! Jika datang
kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan
kamu yang menceritakan kepada kamu
ayat-ayat perintah-Ku, maka sesiapa yang
bertakwa dan memperbaiki amalnya, tidak
ada kebimbangan terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita.”
- Quran 7:35

Anggapan kurang tepat bahawa sejarah Islam bermula dari zaman Nabi Muhammad inilah yang selama bertahun-tahun lamanya telah menyebabkan orang Muslim tersimpang daripada pendekatan universal terhadap Islam. Lantas umat Islam berubah menjadi lebih eksklusif. Ini bertentangan
dengan ajaran asasnya sebagai agama yang merangkumi semua masyarakat dan tradisi keagamaan. Lama-kelamaan, masyarakat Islammula mengambil monopoli terhadap Allah dan Akhirat, menyebabkan pendekatan yang membezakan antara ‘kita’ dan ‘mereka’. Oleh sebab itu, ajaran Al-Quran bahawa semua yang beribadat dalam gereja-gereja, tempat ibadat, tempat pertapaan, biara-biara dan masjid-masjid pada asasnya menyembah Allah yang Satu langsung tidak diketengahkan (rujuk Quran 22:40 di mukasurat
31).


Al-Quran mengatakan,

“Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah
agama kamu semua, agama yang satu , dan
Aku adalah Tuhanmu, maka bertakwalah
kepada-Ku.” - Quran 23:5

Bersambung....

Isnin, 3 Jun 2013

Mengambil Ikhtibar Daripada Pilihanraya Umum 13 Oleh Dr. Chandra Muzaffar

Situasi selepas Pilihanraya Umum (PRU) 13 berbeza daripada dua belas pilihanraya sebelum ini atas satu sebab. Perhimpunan diadakan di beberapa tempat di Semenanjung untuk menentang keputusan PRU 13 kerana kononnya “ penipuan besar-besaran dilakukan” oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Barisan Nasional.

Tuduhan

Setakat ini pemimpin-pemimpin pembangkang tertentu yang membuat tuduhan ini gagal mengemukakan sebarang bukti yang kukuh. Setiap tuduhan liar yang direka --- dari 40,000 rakyat Bangladesh yang diterbangkan ke Malaysia sebagai “pengundi hantu” ke peristiwa “blackout” di Bentong --- hanya mengesahkan bahawa kita berdepan dengan pembohong-pembohong bertaraf dunia.

SPR serta beberapa pakar undang-undang telah berulang kali menekankan bahawa sekiranya pembangkang memiliki bukti tentang penipuan di mana-mana kawasan pililihanraya, di peringkat negeri mahupun di peringkat parlimen, petisyen boleh dikemukakan di mahkamah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia. Ini adalah saluran undang-undang yang digunapakai sejak pilihanraya umum pertama pada 1959.

Sekiranya ada cara tertib berdasarkan Perlembagaan untuk menyelesaikan isu-isu pilihanraya, kenapa sebahagian daripada pembangkang terus memprotes? Jelas bahawa protes merupakan agenda ketua mereka, Dato Seri Anwar Ibrahim, untuk mencapai cita-cita besar beliau iaitu, menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beliau berharap bahawa siri perhimpunan akan menjejas kredibiliti kerajaan BN dan ini mungkin dapat memujuk beberapa ahli parlimen BN melompat masuk pakatan pembangkang. Kemerosotan kredibiliti BN juga mungkin mendorong lobi-lobi tertentu di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) memesatkan kempen mereka untuk menekan kerajaan Dato Sri Mohd Najib menyahut tuntutan-tuntutan Anwar tentang pilihanraya.

Tetapi, Anwar tidak akan mencapai matlamatnya. Majoriti rakyat Malaysia tahu bahawa keputusan PRU 13 adalah adil dan mencerminkan realiti sentimen dan kecenderungan politik kini. Pembangkang sebagai contoh telah memperolehi 89 kerusi parlimen-- yang terbanyak dalam sejarah politik negara, selain daripada mengekalkan kuasa dalam tiga buah negeri dengan majoriti besar! Kerajaan-kerajaan Barat, termasuk kerajaan AS, menerima keputusan PRU 13 secara rasmi dan liputan dalam media Barat yang pro-Anwar pun sudah berkurangan.

Pendekatan kerajaan BN juga membantu BN menguasai keadaan. Polis tidak cuba menyuraikan perhimpunan-perhimpunan dengan gas pemedih mata dan sebagainya. Cuma beberapa aktivis didakwa kerana melanggar undang-undang tertentu.

Kerajaan BN yang dipilih secara demokratik harus terus memerintah secara normal. Kabinet peringkat pusat dan sepuluh buah negeri yang dikuasai BN harus melaksanakan dasar-dasar dan program-program mereka. Bertindak secara normal adalah respon yang paling sesuai terhadap mereka yang ghairah dengan perhimpunan dan demonstrasi.

Cabaran

Pada masa yang sama BN perlu memberi fokus kepada cabaran-cabaran yang masih belum diatasi. Kos hidup yang meningkat yang memberi dampak pada golongan yang kurang berada, terutamanya dikawasan bandar --- sebahagian daripada mereka menolak BN dalam PRU 13 ---- harus ditangani dengan langkah-langkah yang lebih berkesan. Pengawalan terhadap harga barangan ; perumahan mampu milik oleh golongan kurang berada; penyediaan sistem pengangkutan awam yang cekap dan menyeluruh; dan struktur gaji yang adil, adalah antara perubahan-perubahan yang harus dilaksanakan melalui penyususan semula ekonomi.

Pembenterasan rasuah, yang juga merupakan isu besar dalam PRU 13, memerlukan iltizam yang lebih kuat dari kepimpinan politik. Dalam hubungan ini, cadangan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pernah disyorkan oleh NGO-NGO sebelum ini, untuk melarang sanak-saudara ahli-ahli Kabinet, EXCO negeri atau pegawai-pegawai tinggi perkhidmatan awam daripada membidakan kontrak atau projek kerajaan semasa mereka memegang jawatan, harus dikuatkuasakan dengan serta-merta. Begitu juga, suatu mekanisma perlu dibentuk untuk mempertingkatkan akses masyarakat kepada aset dan liabiliti semua ahli Parlimen dan Dewan Undangan dan keluarga terdekat mereka, sepertimana terdapat dibeberapa negara yang lain.

Tahap insiden jenayah yang membimbangkan adalah satu lagi cabaran yang menghadapi kepimpinan BN dewasa ini. Dalam PRU 13, isu ini diperalatkan oleh pembangkang untuk menunjukkan pengundi bahawa BN gagal melindungi keselamatan khalayak ramai. Pendekatan yang lebih berkesan adalah pra-syarat untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap pemerintah.

Dalam suasana politik pasca PRU 13, BN juga memberi perhatian kepada struktur BN. Dalam keadaan dimana prestasi parti-parti Cina merosot sama sekali, kita faham kenapa pemimpin-pemimpin BN tertentu bertanya sama ada sudah tiba masanya untuk membubarkan semua parti komponen dan digantikan dengan satu parti tunggal. Ini adalah persoalan yang kompleks yang perlu dikaji secara mendalam.

Yang lebih penting dan lebih mencabar, adalah sikap dan nilai-nilai kepimpinan dan keahlian parti-parti komponen BN. Oleh kerana UMNO dan BN sudah berkuasa selama beberapa dasawarsa dan hidup dalam zon selesa, apakah semangat perjuangan, semangat pengorbanan pemimpin dan ahli mereka sudah luntur? Apakah ini ikhtibar daripada PRU 12 dan 13? Apakah benar BN kini lebih mengutamakan wang, kuasa dan kedudukan jika dibandingkan dengan Perikatan pada peringkat awal perjuanganya? Apakah penyakit materialisme ini yang merupakan tragedi BN yang sukar diubati?

Sentimen

Bagaimana pula dengan parti-parti pembangkang yang menggelarkan diri sebagai “pakatan rakyat” yang masih belum mewujudkan suatu gabungan yang mantap yang mempunyai struktur kepimpinan, simbol dan misi perjuangan yang sama khususnya dalam soal agama dan kaum? Sebenarnya, jurang ideologi yang membezakan PAS dan DAP amat ketara: PAS dengan idea negara Islamnya yang ditakrifkan melalui hudud dan DAP dengan fahaman ‘Malaysian Malaysianya’ yang meminggirkan sejarah dan latarbelakang politik negara ini. Dapatkah pemimpin dua parti ini mengurangkan jurang ini dalam tempoh lima tahun akan datang ini?

Cabaran yang jauh lebih serius yang berhadapan dengan ketiga-tiga parti pembangkang adalah keihklasan mereka dalam menbendung sentimen-sentimen politik tertentu yang akan memudaratkan negara kita sekiranya tindakan tidak diambil dari sekarang. DAP, sejak ditubuhkan pada 1966, mengeksploitasi sentimen marah dan kecewa di kalangan sebahagian besar daripada kaum Cina dan sebahagian daripada kaum India yang berhubungkait dengan kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Gambaran yang diberikan kepada bukan Melayu dan bukan Bumiputra adalah bahawa kerajaan menganugerahkan segala-galanya kepada Melayu dan Bumiputra manakala bukan Melayu dan bukan Bumiputra di anaktirikan dan dilayani sebagai ‘warga kelas dua.’

Keadaan sebenar ekonomi, budaya dan politik masyarakat kita jauh berbeza daripada persepsi yang dibentuk oleh DAP. Tidak dapat dinafikan bahawa kaum Cina yang paling kukuh kedudukannya di peringkat atasan dan pertengahan dalam hierarki ekonomi negara. Pengamalan budaya dan bahasa Cina yang disokong oleh sistem pendidikan Cina, berleluasa di negara ini ---- suatu fenomena yang tidak wujud di mana-mana negara lain di luar Republik Cina dan Taiwan. Begitu juga, penglibatan kaum Cina dalam politik negara, jika dilihat dari segi sejarah politik Malaysia yang berakar umbi dalam sistem politik Melayu, adalah luar biasa. Jelas bahawa kaum Cina tidak dianaktirikan dan bukan warga kelas dua --- walaupun dalam pelaksanaan kedudukan istimewa dan DEB, adakalanya bukan Melayu dan bukan Bumiputra yang layak gagal mendapat tempat di universiti atau biasiswa atau pun kontrak dan lisen perniagaan. Tetapi kes-kes khusus--- ketidakadilan sedemikian rupa--- tidak boleh dijadikan asas untuk membuat kesimpulan palsu bahawa kaum Cina pada keseluruhannya dianaiya!

Kesimpulan palsu inilah yang mengghairahkan hampir keseluruhan kaum Cina untuk mengakhiri apa yang disifatkan mereka sebagai dominasi Melayu/UMNO dan mencapai “kesamaan” dalam PRU 13. Ini yang dimaksudkan dengan “Ubah”--- cogankata DAP dalam PRU 13. Oleh kerana DAP dan kaum Cina gagal ubah kerajaan, mereka harus merenungkan secara dalam tentang kedudukan mereka, sejarah dan konteks masyarakat berbilang kaum dinegara kita, dan masa depan hubungan kaum di Malaysia. Secara ikhlas, cuba memahami realiti ekonomi, budaya dan politik masyarakat kita dan bertindak dengan seimbang berdasarkan realiti ini. Ini adalah tanggungjawab besar pemimpin-pemimpin DAP, malah cendekiawan Cina amnya.

Sekiranya renungan ini tidak berlaku dan majoriti kaum Cina terus dipengaruhi oleh persepsi yang bertentangan dengan realiti, sudah tentu masyarakat Melayu akan menjadi lebih renggang daripada kaum Cina. Polarisasi kaum akan bertambah buruk. Polarisasi kaum yang diiringi oleh ketegangan kaum mengundang pada ketidakstabilan politik yang akan menjejaskan persekitaran ekonomi.

Sama seperti DAP, PAS juga harus membetulkan persepsi yang disebarluas di kalangan golongan muda Islam bahawa pendekatanya kepada Islam adalah Islam yang tulen yang merupakan mujarab kepada segala cabaran yang kita menghadapi di negara kita. Pendekatan PAS yang mempunyai ciri-ciri persamaan dengan beberapa negara-negara yang mengisytiharkan diri sebagai “negara Islam” serta pergerakan-pergerakan Islam di tempat-tempat lain, dipersoalkan oleh pemikir-pemikir Islam kerana lebih mementingkan kulit daripada isi agama. Itulah sebabnya negara-negara tersebut gagal memberi makna yang konkrit kepada keadilan sosial dan kemuliaan insan( termasuk kemuliaan wanita) yang menjadi cita-cita unggul Al-Quran al-Karim. Lagi pun, PAS perlu menyelami persoalan yang masih mencetuskan perbahasan tentang peranan sebuah parti Islam dalam masyarakat berbilang agama yang berfungsi dalam persekitaran politik abad 21.

Ini membawa kita kepada PKR. Parti ini juga dibawa oleh arus sentimen yang dangkal yang berkisar pada ketaksuban terhadap seorang individu. Sudah tentu ketaksuban sedemikian rupa bertentangan sama sekali dengan suasana abad 21. Ahli-ahli PKR harus membebaskan diri mereka daripada belenggu jumud ini.

Parti-parti pembangkang, sepertimana dengan BN, menghadapi banyak cabaran dalam landskap politik pasca PRU 13. Mereka harus ambil ikhtibar daripada cabaran-cabaran ini. Mereka yang belajar dan buat perubahan yang berkesan secara ikhlas akan berjaya---Insya’Allah.

Ahad, 2 Jun 2013

Allah dalam Bible, boleh atau tidak? Bahagian 1


“Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” – Quran 25:30

Salam,

Saya begitu hairan kerana dalam perbincangan dan pendebatan mengenai isu penggunaan istilah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dalam Bible, kedua-dua pihak sama ada masyarakat Kristian yang ingin menyokong penggunaan istilah itu ataupun masyarakat Islam yang membantah penggunaannya, tidak terfikir untuk merujuk kepada pendirian Al-Quran.’

Kita boleh fahami sekiranya saudara-saudari Kristian terlepas pandang dalam hal ini, namun sukar diterima jika umat Islam sendiri yang berbuat demikian. Daripada merujuk Al-Quran, beberapa saudara Muslim kita lebih sibuk membuktikan bahawa dari segi sejarah, Bible tidak menggunakan istilah Allah. Mereka juga cuba menyampaikan hujah-hujah mereka dengan menggunakan undang-undang sivil. Saudara-saudari Muslim perlu berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam golongan yang dimaksudkan dalam ayat berikut:

“Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguh-nya kaumku telah menjadikan Al-Qur’an ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” Al-Quran 25:30

Masyarakat Islam dan bukan Islam yang ingin membincangkan isu-isu berkaitan agama dengan seorang Muslim, tiada bukti yang lebih kukuh daripada Al-Quran.

“Bertanyalah:  Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya? Katakanlah: Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan diwahikan kepadaku Al-Quran ini supaya aku memberi amaran dengannya kepadamu dan sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan itu….” – Al-Quran 6:19

Bagi seorang Muslim, Al-Quran merupakan panduan muktamad.

“Dan tiadalah Kami turunkan Al-Qur’an kepadamu melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang  mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman.” Quran 16:64

Dan,

“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepada-Nya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang yang diberi
hidayah petunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang yang berakal sempurna.”

Seorang Muslim yang mengaku dirinya sebagai pengikut Nabi Muhammad haruslah berpegang teguh kepada kalimah Allah,

“Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitab-Nya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk.” – Quran 7:158

Dan mereka yang mengadili sesuatu tanpa merujuk kepada Al-Quran akhirnya tidak ada perbezaan berbanding orang kafir.

“Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” – Quran 17:9

“…Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” – Quran 5:44

Ayat-ayat Al-Quran di atas memadai untuk membuktikan bahawa perbincangan yang berasaskan Al-Quran merupakan pendekatan Islam yang logik. Sekiranya seorang Muslim mahupun bukan Muslim dapat membuktikan sama ada penggunaan istilah Allah dibenarkan atau tidak dibenarkan di dalam Al-Quran, semua umat Islam harus menuruti keputusan tersebut. Habis cerita!


Bersambung…