Ahad, 2 Jun 2013

Allah dalam Bible, boleh atau tidak? Bahagian 1


“Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” – Quran 25:30

Salam,

Saya begitu hairan kerana dalam perbincangan dan pendebatan mengenai isu penggunaan istilah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dalam Bible, kedua-dua pihak sama ada masyarakat Kristian yang ingin menyokong penggunaan istilah itu ataupun masyarakat Islam yang membantah penggunaannya, tidak terfikir untuk merujuk kepada pendirian Al-Quran.’

Kita boleh fahami sekiranya saudara-saudari Kristian terlepas pandang dalam hal ini, namun sukar diterima jika umat Islam sendiri yang berbuat demikian. Daripada merujuk Al-Quran, beberapa saudara Muslim kita lebih sibuk membuktikan bahawa dari segi sejarah, Bible tidak menggunakan istilah Allah. Mereka juga cuba menyampaikan hujah-hujah mereka dengan menggunakan undang-undang sivil. Saudara-saudari Muslim perlu berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam golongan yang dimaksudkan dalam ayat berikut:

“Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguh-nya kaumku telah menjadikan Al-Qur’an ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” Al-Quran 25:30

Masyarakat Islam dan bukan Islam yang ingin membincangkan isu-isu berkaitan agama dengan seorang Muslim, tiada bukti yang lebih kukuh daripada Al-Quran.

“Bertanyalah:  Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya? Katakanlah: Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan diwahikan kepadaku Al-Quran ini supaya aku memberi amaran dengannya kepadamu dan sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan itu….” – Al-Quran 6:19

Bagi seorang Muslim, Al-Quran merupakan panduan muktamad.

“Dan tiadalah Kami turunkan Al-Qur’an kepadamu melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang  mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman.” Quran 16:64

Dan,

“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepada-Nya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang yang diberi
hidayah petunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang yang berakal sempurna.”

Seorang Muslim yang mengaku dirinya sebagai pengikut Nabi Muhammad haruslah berpegang teguh kepada kalimah Allah,

“Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitab-Nya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk.” – Quran 7:158

Dan mereka yang mengadili sesuatu tanpa merujuk kepada Al-Quran akhirnya tidak ada perbezaan berbanding orang kafir.

“Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” – Quran 17:9

“…Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” – Quran 5:44

Ayat-ayat Al-Quran di atas memadai untuk membuktikan bahawa perbincangan yang berasaskan Al-Quran merupakan pendekatan Islam yang logik. Sekiranya seorang Muslim mahupun bukan Muslim dapat membuktikan sama ada penggunaan istilah Allah dibenarkan atau tidak dibenarkan di dalam Al-Quran, semua umat Islam harus menuruti keputusan tersebut. Habis cerita!


Bersambung…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan